Penduduk Sabah terdiri daripada 33 kumpulan pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik. Kadazan-Dusun adalah kumpulan etnik yang terbesar di Sabah yang membentuk hampir 30% daripada keseluruhan jumlah penduduk. Pesta Menuai yang disambut pada 30 & 31 Mei setiap tahun adalah percutian yang amat diraikan oleh etnik Kadazan-Dusun bagi menghormati Roh Beras dan untuk bersyukur di atas tuaian yang banyak.
Bajau, atau juga dikenali sebagai ‘Koboi Timur’, dan Murut, iaitu orang-orang bukit dan pemburu kepala pada masa lalu, adalah kumpulan etnik kedua dan ketiga terbesar di Sabah. Suku kaum lain-lain adalah termasuk suku kaum bumiputera seperti Bisaya, Melayu Brunei, Bugis, Kedayan, Lotud, Ludayeh, Rungus, Suluk, Minokok, Bonggi, Ida’an, dan banyak lagi. Di samping itu, orang Cina juga termasuk dalam kumpulan utama bagi penduduk bukan pribumi.

Sejarah Sabah boleh dikesan kembali kepada kira-kira 20,000 – 30, 000 tahun yang lalu dengan bukti-bukti yang mencadangkan bahawa manusia awal telah wujud. Syarikat Berpiagam Borneo Utara berfungsi memerintah Sabah (kemudian dikenali sebagai Borneo Utara) dari tahun 1881 sehingga 1942, apabila tentera Jepun menyerang Borneo Utara semasa Perang Dunia II.
Akibat peperangan yang menghancurkan itu, Syarikat Berpiagam Borneo Utara tidak mempunyai sumber kewangan untuk membina semula negeri Sabah. Oleh sebab demikian, wilayah itu telah diletakkan di bawah kawalan pejabat kolonial dan menjadi tanah jajahan British pada 15 Julai 1946. Beberapa tahun selepas itu, Sabah mencapai pemerintahan sendiri dari British, dan telah bersatu dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
Sumber : https://www.sabah.gov.my/cms/?q=ms/content/rakyat-sejarah

