“Lebih Dua Tahun Masalah Bekalan Air”. – TUARAN

epeacetux
By
epeacetux
Sebenarnya menjadi orang tu mudah, tetapi menjadi orang yang berguna untuk masyarakat tu yang tidak mudah. Perlu lahir dari hati.
7 Min Read
Sumber Gambar : FingerClix Photography

Melalui group komuniti “TUARAN KITA”, admin bersimpati dengan luahan seorang penduduk di Taman Sri Rugading, Tuaran yang meluahkan masalah bekalan air telah berlarutan lebih 2 tahun.

Menurut netizen, mereka terpaksa bangun pada jam 3 pagi apabila terdengar bunyi air paip mencurah di baldi untuk mengumpul air di dalam botol dan tong.

“Rumah kami di empat blok hujung ni, Blok J, Blok F, Blok D, Blok E, sudah lebih dua tahun jarang-jarang ada bekalan air. Dalam tempoh 72 jam, hanya 1 jam kami menikmati bekalan air yang perlahan.

Selama tempoh ini kami terpaksa bangun pada jam 3.30 pagi apabila terdengar bunyi air paip mencurah di baldi untuk mengumpul air dalam botol dan tong. Dan bukanlah setiap hari 3.30 pagi itu ada air.

Sekitar jam 10.00 dan jam 11.00 malam kami perlu turun ke satu paip berhampiran tempat meletak kereta, buka paip di sana kalau-kalau ada air. Kalau ada air, kami turun bawa tong, bawa botol mineral water untuk isi air sekali lagi. Simpanan untuk keperluan ke tandas.

Duit untuk bayar sewa kami guna untuk kelangsungan hidup. Beli makanan di kedai, cuci pakaian harian, pakaian sekolah dan pakaian kerja.

Kerugian kami lebih banyak daripada RM1,008.00.

Cuci pakaian paling kurang tiga kali seminggu di kedai dobi dengan kos RM10.00 sekali cucian. Beli makanan paling kurang RM20.00 untuk sehari.

Cuba tuan puan di MDTRN dan Pengurusan Sri Rugading yang bijaksana tolong darabkan semua kos untuk paling kurang 700 hari, atau untuk 100 minggu. Atau untuk 24 bulan.

Aduan kami selama tempoh ini tuan puan jawab dengan alasan
1. air dicatu dengan Kampung Giling dan kampung sekitarnya
2. tekanan air rendah
3. tiga buah pam air hilang

Tuan puan, alasan-alasan dan punca-punca yang tuan puan kemukakan kepada kami ini tidaklah dapat digunakan untuk memasak, mandi dan mencuci pakaian. Cubalah tuan puan hidup bermandikan alasan dan kenyangkan perut dengan memakan alasan-alasan ini.

Sebagaimana tuan puan juga tak mungkin mahu menerima alasan bahawa duit yang sepatutnya kami guna untuk bayar sewa rumah sebanyak RM145.00 sebulan itu telah digunakan untuk kelangsungan hidup.

Ini semua memang kekurangan daripada pihak kami kerana terpaksa mengutamakan makan dan pakaian harian berbanding membayar sewa. Adilkah keperluan kami untuk menikmati sumber air paip dari tahun 2017 ini tuan puan jawab dengan alasan selama lebih dua tahun tanpa ada sebarang tindakan?

Tuan puan, Blok K, blok bersebelahan blok kami ini, kami boleh dengar bunyi air paipnya. Kami boleh dengar mesin basuh mereka mencuci pakaian. Kami boleh nampak pakaian yang mereka jemur di ampaian. Kami boleh dengar mereka menumis sayur. Dekat saja blok kami ini.

Blok Pengurusan Taman Sri Rugading, Blok L. Kawan-kawan kami di blok sini boleh menjual nasi berlauk, boleh menjual kek homemade. Tak jauh tuan puan. Sebelah blok dan berkongsi parking saja ini.

Sedang kami di blok J, anak-anak menjerit ceria bila sesekali buka paip ada air. “Mak..mak..hidup sudah air kita”
Anak-anak tersenyum bila sesekali dapat mandi dengan selesa. Masa itu sahaja mereka tak perlu mengira satu gayung buat basah, tiga gayung buat bilas sabun di badan.

Tuan puan, kami ini juga manusia. Keperluan kami sama seperti tuan puan. Kami tidak pandai pergi berbuat khianat di pejabat pengurusan dengan membakar, membaling najis atau memecahkan tingkap di sana apabila aduan kami dipandang sepi. Kami tidak pandai membawa parang meminta bekalan air kami disalurkan sebaiknya.

Kami tidak pandai mengumpul bil makanan dan bil mendobi untuk membuat tuntutan kerugian pada tuan puan. Kami tidak pandai berkumpul ramai-ramai 400 ketua rumah meminta masalah kami diselesaikan. Kami ini perlu bekerja dan bukan mudah untuk meminta kelepasan walaupun separuh hari.

Kami tidak pandai mengambil gambar anak-anak kami terpaksa turun jam10.00 malam untuk mandi apabila paip di meletak kereta itu ada air. Kami tidak sempat menyambut tangan jiran kami jatuh tergelincir di tingkat 5 ketika sedang menadah air hujan berdekatan saliran air di atas sana. Mujur tidak terjatuh ke bawah.

Kami tidak sempat mahu bergambar semasa semua sedang sibuk memunggah air dari tempat meletak kereta di bawah. Berbaris menunggu giliran. Nenek-nenek, ibu hamil, kaum bapa, anak-anak masing-masing memeluk botol air mineral, membawa baldi penuh air. Tangga basah dan licin itu kami langkah dengan doa jangan ada yang tergelincir. Jangan lagi kami diuji dengan kecederaan sedang masalah air sudah cukup susah. Jiran dari 4 blok lain juga datang sama-sama ambil air di sini.

Mengapa tuan puan memandang masalah kutipan sewa sahaja sebagai perkara yang hak dan benar, tapi dalam masa yang sama hanya mahu memberi alasan pada masalah air di rumah kami ini.

Tuan puan, adakah kami penghuni di 4 buah blok ini sedang diusir secara halus dengan diputuskan bekalan air selama lebih dua tahun?”.

Sumber:
Wanie Zuraini
Hamyaniezanny Qira

Selain itu juga, ada juga komen-komen dari netizen yang menyatakan masalah ini juga sudah berlaku sejak lima tahun yang lepas.

“Tambah lg blok G..jadi smua 5 blok…bulan2 kami byr bil air &sewa rumah..lambat sikit terus diberi notis..x da cara ka managemant ni untuk mempermudahkan penduduk di tsr memdapatkan air….suda 5 tahun kami dgn masalah air x mencukupi.” 

 

Admin berharap, pihak yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini. Admin pun tidak dapat bayangkan macamana mau hidup selama 2 tahun dengan masalah bekalan air.

 

Total Views: 0
Share This Article
Sebenarnya menjadi orang tu mudah, tetapi menjadi orang yang berguna untuk masyarakat tu yang tidak mudah. Perlu lahir dari hati.
Leave a Comment

Leave a Reply