KEKAL MISTERI SETELAH 23TAHUN BERLALU

Fitrie Ismi
By
Fitrie Ismi
An Introvert. A Bibliophile.
3 Min Read
SUNGAI Pampang di pinggir pekan Keningau mengalir tenang selepas 19 tahun tragedi Ribut Tropika Greg berlalu. Tragedi itu meragut nyawa ratusan penduduk. - Foto Lano Lan

SUNGAI Pampang yang mengalir tenang di pinggir pekan Keningau, di Sabah, seolah-olah menyembunyikan amukan ganas Ribut Tropika Greg, yang berlaku sehari selepas Krismas, 23 tahun lalu.

Melihat keadaannya hari ini dengan air jernih mengalir perlahan di celah-celah batu, sukar dipercayai ia pernah meragut kira-kira 300 nyawa dalam tempoh hanya beberapa jam akibat limpahan air dan arus deras.

Tragedi hitam awal pagi pada 26 Disember 1996 itu tidak sempat dielak penghuni rumah berhampiran tebing Sungai Pampang, dengan kebanyakan mereka masih tidur. Tiada siapa yang dapat menduga, rumah yang dianggap kukuh, hanyut sekelip mata.

Hari ini, hanya saiz yang membezakan keadaan Sungai Pampang, dengan lebar 10 meter hingga 20 meter berbanding hanya satu meter hingga lima meter sebelum Ribut Tropika Greg.

Tiada lagi penempatan di tebing sungai itu, kecuali beberapa rumah atau pondok dibina pekebun yang mengusahakan kebun sayur di kawasan rizab sungai.

Semak-samun dengan rumput panjang dan rumpun buluh memenuhi tebing Sungai Pampang, selain sampah-sarap dan sisa kumbahan di bahagian hilirnya.

Pada 26 Disember 1996, kira-kira jam 4 pagi, air Sungai Pampang melimpahi tebing dan mengalir deras bersama lumpur serta batang kayu balak yang dihanyutkan dari hulu sungai di Banjaran Crocker.

Aliran air bercampur lumpur dan kayu balak yang kuat meranapkan apa saja yang berada di sepanjang tebing Sungai Pampang, termasuk rumah dan kenderaan serta binaan lain seperti jambatan gantung.

Antara kampung yang terjejas di sepanjang Sungai Pampang ialah Kampung Bulu Silou, Pampang, Motou, Agudon, Masak, Contoh, penempatan masyarakat Toraja, Indonesia; Kampung Masjid dan Limbawan.

Hanya jambatan Sungai Pampang berhampiran Kampung Limbawan, yang menghubungkan pekan ini dengan Tenom tidak terjejas dan masih kukuh hingga hari ini.

Timbul persoalan dari mana air yang terlalu banyak hingga melimpahi tebing Sungai Pampang, seperti ditimpa empangan pecah, masih menjadi misteri.

“Ada cerita tersebar ketika itu, kononnya beberapa hari sebelum kejadian, ada orang tua datang ke sebuah rumah berhampiran Sungai Pampang yang sedang mengadakan keramaian untuk meminta air, namun penghuninya tidak mengendahkannya, malah mengejeknya pula.

“Orang tua itu kemudian menjawab akan memberikan air yang banyak jika benar penghuni di rumah itu tiada air. Maka, terjadilah limpahan air yang sangat banyak di Sungai Pampang hingga menyebabkan banyak kerosakan dan kehilangan nyawa,” katanya.

Berdasarkan pemantauan di hulu Sungai Pampang di Banjaran Crocker selepas kejadian, ada kesan takungan air di tanah tinggi itu akibat hujan berterusan berikutan pembentukan siklon tropika di Laut China Selatan, kemudian dikenali sebagai Ribut Tropika Greg.

Hujan berterusan beberapa hari sebelum kejadian menyebabkan jumlah air bertakung di kawasan terbabit bertambah sebelum `pecah’ dan melimpahi Sungai Pampang pada 26 Disember 1996 dan surut kira-kira empat jam kemudian.

Total Views: 0
Share This Article
An Introvert. A Bibliophile.
Leave a Comment

Leave a Reply