Hai kamurang. Nunu habar dokoyu? ‘Ngaranku nopo nga ie Clerice Olvia Augustine’. Begitu lah bahasa yang selalu kita dengar kalau mahu dekat sudah Pesta Kaamatan kan. Jom kenali Unduk Ngadau Kota Marudu 2018 yang humble betul. Min sudah beberapa kali berjumpa dengan ini sumandak. Hari ini min mahu kongsikan tentang sumandak Kota Marudu bernama Clerice Olvia Augustine.
Nama diberi, Clerice Olvia Augustine. Bulih panggil Clerice dan untuk orang yang sudah lama mengenali dia, ada panggilan manja ya gaisss. Panggil saja dia Bibie. Berumur 25 tahun pada tahun 2022, menetap di sebuah kampung yang jarang-jarang didengar iaitu Kampung Pinatau, Kota Marudu. Kalau sudah juara Unduk Ngadau mestilah pandai cakap Dusun kan? Clerice lahir dari sebuah keluarga yang berbangsa Dusun dan memang Dusun tulen lah orang bilang. Merupakan anak ketiga dari empat orang adik beradik.
Cerita tentang biodata, Clerice sangat suka memasak, suka pigi hiking dan lebih mencintai keindahan pantai. Pssst, dia pet lover ya gais, banyak kucing dia di rumah. Semasa sesi temubual, min salute betul sama semangat dia yang suka belajar tentang culture dengan lebih mendalami. Jarang betul belia zaman sekarang yang ada itu semangat mahu belajar tentang culture.
Sekarang, Clerice sedang bekerja dan dalam masa yang sama sedang sambung belajar juga (PJJ). Wow! Bulih rasa kepenatan otak. Lain tekanan kerja, lain lagi tekanan belajar kan. Clerice bulih buat, takkan kamu tidak kan? Aisehmen.
Bah, mari min kongsi lagi macam mana Clerice bulih sampai tahap yang sekarang. Sejak kecil, dia memang minat sama dunia pageant. Dalam temubual, Clerice bilang ‘sejak umur 9 tahun, saya mula mengikuti pertandingan Ratu Fesyen Kanak-Kanak dan berangan-angan untuk pijak pentas Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) apabila besar nanti.’ ‘Saya bersyukur sebab pada tahun 2018, angan-angan saya untuk naik pentas KDCA menjadi kenyataan.’
PENCAPAIAN
Clerice mula memberanikan diri dalam Unduk Ngadau di Daerah Pitas dan mendapat top4 pada tahun 2016. Top5 dalam Unduk Ngadau Daerah Kota Kinabalu pada tahun 2017, dan dinobatkan sebagai pemenang Unduk Ngadau Kota Marudu pada tahun 2018. Clerice juga pernah mengikuti Ratu Gong, Pertandingan Anak Momogun Cafe, Ratu Kebaya Malaysia pada tahun 2020 dan mendapat tempat kedua. Merupakan pemenang Ambassadress of Borneo 2020, Ratu Jagung dan pada tahun 2021 Clerice sekali lagi dinobatkan sebagai pemenang dalam Pertandingan Unduk Ngadau Upko Nasional mewakili Daerah Kota Marudu.
HARAPAN UNTUK TAHUN 2022
Khas untuk yang mengenali Clerice dan yang tidak mengenalinya juga, dia berharap semoga semua yang dirancangkan untuk tahun 2022 ini berjalan dengan lancar. ‘Semoga saya dapat menghabiskan Degree pada tahun ini, keluarga diberi kesihatan yang baik, diberi keamanan dan kebahagiaan selalu.’ tambah Clerice. Harapan terbesar Clerice, semoga impian dan tujuan pada tahun ini dapat dicapai dengan prestasi yang baru.
KESAN PANDEMIK TERHADAP PEKERJAAN
Mesti ramai yang terkesan dengan pandemik ini kan? Apa pula cabaran Clerice semasa pandemik? ‘Berlaku sedikit kesan masa saya bekerja, cara bekerja dan juga pekerjaan (part time) saya dimana sebelum pandemik, saya banyak mendapat tawaran bekerja.’ ‘Namun, tidak menjadi penghalang kepada saya. Walaupun pandemik memberi kesan terhadap pekerjaan saya, saya bersyukur masih ada pekerjaan yang kekal. Dan tahun ini, saya bersyukur betul sebab saya dapat 1 pekerjaan dimana saya diberi peluang untuk menjadi salah satu Duta Pelancongan daripada 5 orang sumandak di Sabah. Saya tidak sabar untuk menjalankan tanggungjawab saya untuk memperkenalkan budaya dan tempat-tempat menarik yang ada di Sabah kepada orang ramai.’ bilang Clerice.
MOMENT TERINDAH DALAM HIDUP
Clerice bersyukur impian waktu kecilnya termakbul. ‘Moment terindah dalam hidup, impian saya dari kecil dapat ditunaikan. Dimana saya ingin melibatkan diri dalam pentas KDCA, syukur tahun 2018 impian itu sudah termakbul.’ Ini Clerice cakap sama min semasa sesi temubual.
PENGALAMAN
Semua orang pasti pernah mengalami up and down dalam hidup. Dalam banyak kejayaan yang Clerice capai, ada pengalaman manis pahitnya. Pengalaman pahit yang pernah terjadi dalam hidup Clerice, dimana ada suatu titik dia merasa sangat putus asa. Menurut apa yang Clerice cerita sama min, dia mengalami waktu yang sangat sukar kerana dibebani masalah pekerjaan, sekolah, dan masyarakat sekeliling. Namun, Clerice orang yang tetap kuat. Berkat keluarga dan kekuatan doa, dia mampu atasi semua masalah yang dialaminya.
Bilang si sumandak, ‘Pengalaman manis yang saya mau share, apabila saya pernah berdiri di satu pentas yang besar di Sabah dan dikelilingi oleh beribu-ribu orang yang melihat saya pada masa itu. Perasaan gementar, excited dan happy walaupun masa itu saya sakit teruk. Namun, saya tetap semangat sebab masa inilah saya membawa nama Daerah Kota Marudu dan Budaya Dusun Gobukon untuk disampaikan kepada semua orang Sabah yang menonton saya pada ketika itu.’
Mesti ramai yang tertanya-tanya macam mana attitude sumandak Sabah ini kan? Clerice orang yang sangat peramah. Kamu tegur saja dia kalau terjumpa dimana-mana. Tidak juga dia tarik muka sama kamu. Kamu bagi dia kucing, dia adopt terus.