TUARAN – Borneo Ant House, galeri bawah tanah seumpamanya di Malaysia bakal menjadi tarikan pelancongan baharu di Sabah apabila mula menerima kehadiran pengunjung mulai 1 Julai ini. Galeri berkonsepkan rumah semut yang dilancarkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun itu terletak di Kampung Kindu, Lebuhraya Tuaran-Tenghilan, di sini, kira-kira 41 kilometer […]
TUARAN – Borneo Ant House, galeri bawah tanah seumpamanya di Malaysia bakal menjadi tarikan pelancongan baharu di Sabah apabila mula menerima kehadiran pengunjung mulai 1 Julai ini.
Galeri berkonsepkan rumah semut yang dilancarkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun itu terletak di Kampung Kindu, Lebuhraya Tuaran-Tenghilan, di sini, kira-kira 41 kilometer dari Bandar raya Kota Kinabalu.
Pengarah Eksekutif Borneo Ant House, Sufiah Abd Rahim Lee berkata konsep dan idea galeri merangkap taman tema itu diilhamkan oleh suaminya Tarmizi Sandhu beberapa tahun lalu sebelum mengambil langkah seterusnya kerana melihat ada potensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan.
Beliau yang juga seorang pesara guru berkata projek itu diusahakan bersama anggota keluarganya pada 2015 di atas tanah seluas 1.2 hektar dengan kos perbelanjaan kira-kira RM700,000.
“Selepas dua tahun, galeri dan taman tema ini siap dibina. Tidak hanya untuk menarik pengunjung beriadah serta memanfaatkan kualiti masa bersama keluarga, Borneo Ant House ini juga adalah platform untuk membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di sini,” katanya yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran galeri tersebut.
Terdahulu, ketika berucap, Masidi turut memuji kesungguhan dan keberanian keluarga Sufiah untuk melabur bagi mewujudkan produk pelancongan di Sabah yang sememangnya mempunyai masa depan cerah memandangkan negeri ini adalah lubuk pelancongan.
“Inovasi dan kreativiti adalah dua elemen yang amat diperlukan dalam industri pelancongan. Produk pelancongan itu juga mesti mempunyai tarikan tersendiri yang dapat menarik pengunjung. Jika kita (Sabah) mempunyai lebih banyak produk pelancongan, maka akan lebih ramai pengunjung datang,” katanya.
Galeri tersebut dibahagikan kepada tiga bilik yang mempamerkan keindahan serta keunikan Borneo merangkumi bilik pameran semut dengan 463 replika semut, warisan budaya dan pedang.
Sebelum memasuki galeri berkenaan, pengunjung terlebih dahulu akan disambut oleh replika semut gergasi di pintu masuk galeri seterusnya menyuntik keterujaan pengunjung apabila meneroka bilik pertama galeri itu yang penuh dengan replika semut di dinding.
Selain itu, ia turut mempunyai taman tema dengan menerapkan keindahan alam semula jadi di persekitarannya serta rumah pokok moden dan laluan pejalan kaki jambatan gantung disediakan untuk pengunjung berjalan sambil menikmati udara nyaman selain dilengkapi kafeteria.
Bagi mereka yang berminat, harga tiket masuk ke Borneo Ant House untuk rakyat Malaysia ialah RM9 (kanak-kanak berusia antara 7 dan 12 tahun serta warga tua) dan RM19 (dewasa); manakala bagi pengunjung antarabangsa pula RM18 (kanak-kanak berusia antara 7 dan 12 tahun serta warga tua) dan RM36 bagi dewasa. – BERNAMA
Layari laman web mereka , https://borneoanthouse.com
No comments yet. Leave a reply to start a conversation.
By signing up, you agree to receive our newsletters and promotional content and accept our Terms of Use and Privacy Policy. You may unsubscribe at any time.