Take a fresh look at your lifestyle.

Pencapaian 4 Atlet kelahiran Sabah ! Sabah bah ni..

935

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Sabah negeri di bawah bayu merupakan negeri yang mempunyai pelbagai etnik. Wujudnya kepelbagaian etnik ini telah melahirkan ramai individu yang berbakat. Bukan sahaja dalam dunia hiburan malahan dunia sukan. Jom kita kenali beberapa atlet ini.

Berikut merupakan 4 atlet kelahiran sabah yang telah menempah nama bukan sahaja di dalam negara malahan di peringkat antarabangsa.

 

4. Chika Cherryca Chia (Basikal trek)

Sukan basikal trek tidak asing lagi di mata masyarakat. Trek berbasikal adalah sukan lumba basikal yang diadakan di trek velodrom. Kepada yang belum tahu, basikal trek ini mempunyai gear tetap tetapi tidak mempunyai brek.

Jika dilihat daripada ciri-ciri basikal trek ini boleh dikatakan hanya sesuai dimainkan oleh golongan lelaki sahaja. Namun siapa sangka atlet wanita juga boleh menempah nama dalam sukan ini.

Mungkin ramai lagi masyarakat di luar sana yang tidak mengenali atlet wanita sukan basikal trek kelahiran sabah ini kan.. Jadi sini admin mau kongsikan serba sedikit tentang pencapaian atlet cantik ini.

Chika Cherryca Chia atau lebih dikenali sebagai Chika merupakan atlet trek berbasikal yang berasal dari Kota Marudu, Sabah. Beliau telah berhasil menempa nama dalam sukan ini.

Beliau berjaya melakar kejutan memenangi dua pingat perak dalam acara Keirin dan pecut individu di Kejohanan Trek Kebangsaan 2019 di Velodrom Nasional dan juga telah meraih gangsa di Kejohanan Grand Prix Asia Tenggara 2019. wow ! hebat kan..

Atlet trek berbasikal ini mengatakan bahawa tidak pernah terfikir untuk menjadi atlet sepenuh masa kerana beliau melihat sukan tersebut sebagai aktiviti sampingan.

Namun begitu, pencapaian beliau dalam sukan ini tetap membanggakan rakyat Malaysia.

 

3. Rayzam Shah ( Atlet 110 lari berpagar) 

110 meter lari berpagar adalah acara balapan yang diminati ramai dan hanya dipertandingkan oleh golongan lelaki. Sukan ini juga adalah acara pecut tetapi menggunakan pagar sebagai halangan.

Rayzam shah yang lahir pada tahun 1988 dan berasal dari Sabah ini merupakan salah satu atlet lari berpagar negara yang telah mencipta nama dan rekod tersendiri. Beliau telah bertanding sebanyak dua kali di Kejohanan Dunia pada tahun 2009 dan 2013 tetapi tidak sampai ke separuh akhir.

Namun begitu, atlet kelahiran sabah ini telah memecahkan rekod kebangsaan yang mencatatkan 13.67 saat dalam acara 110 meter berpagar di Kejohanan Kurpfalz Gala di Jerman.

Beliau gembira dengan pencapaian tersebut kerana dapat memecahkan rekod yang telah lama dipegang oleh Nur Herman yang dilakukan pada tahun 1994 dalam sukan Asia di Hiroshima, Jepun.

 

2. Joffey Jolley (Gusti lengan)

Gusti lengan merupakan sebuah sukan yang melibatkan dua orang peserta yang memerlukan tenaga tangan yang kuat untuk memenangi perlawanan tersebut.

Joffey Jolley yang berasal dari Telipok Sabah telah mengejutkan dunia sukan gusti lengan apabila beliau telah memenangi pingat emas pada Kejohanan Gusti Lengan Antarabangsa (IFA) terbuka di Poland pada tahun 2019 lalu. Beliau berjaya  menumpaskan lawan dari Ukraine iaitu Yurii Dushko dalam kategori senior 70kg.

Kemenangan yang dimiliki oleh atlet Joffey ini menjadikan pingat emas pertama yang diperolehi oleh Malaysia dalam sukan gusti lengan.

Ini merupakan satu pencapaian yang baik buat anak jati Sabah ini kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam sukan gusti lengan di peringkat antarabangsa.

 

1. Felicia Mikat (Atlet PARA – balapan larian pecut)

Ramai atlet-atlet Para yang telah berjaya mewakili sukan di peringkat antarabangsa. Sukan Para Asean adalah sebuah acara sukan yang melibatkan atlet kurang upaya dari sebelas buah negara di Asia Tenggara.

Siapa sangka seorang atlet wanita istimewa kelahiran negeri di bawah bayu ini telah mencipta nama di luar negara dan digelar sebagai ratu pecut Paralimpik ASEAN.

Felicia Mikat merupakan seorang gadis yang berasal dari Tambunan Sabah. Beliau merupakan seorang atlet para yang mempunyai masalah penglihatan. Namun begitu, kekurangan fizikal yang dimiliki oleh Felicia bukanlah  penghalang untuk beliau mencipta nama dalam acara sukan balapan larian.

Pada tahun 2016 ketika Sukan Para ASEAN di Singapura beliau telah berjaya meraih tiga pingat emas bagi kategori T13 dalam acara 100, 200 dan 400 meter pecut. Wahh tiga acara pula tu .. sangat hebat .. Kejayaannya ini telah mengharumkan nama negara dan membanggakan rakyat Malaysia.

Felicia Mikat juga mengatakan bertekad untuk menjadi seorang atlet yang berjaya serta menjadi juara dunia dimasa akan datang.

 

Atlet-atlet kelahiran Sabah ini masing-masing telah mencipta nama sendiri dalam sukan yang mereka ceburi. Ianya merupakan satu kebanggaan bagi rakyat sabah dalam dunia sukan.

 

 

 

 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.