Take a fresh look at your lifestyle.

KISAH NUNUK RAGANG SERTA ASAL USUL RANAU TAMBUNAN DAN KENINGAU.

85

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Nunuk Ragang? Pasti kamu pun pernah dengar kan ? macam mana agaknya kewujudan Nunuk Ragang  , jom min kasi cerita kamu.

Nunuk Ragang ini pada asalnya berada di kawasan hutan belantara di Sabah. Nunuk Ragang adalah antara tempat suci bagi kaum Kadazan Dusun. Pada minggu pertama bulan Julai setiap tahun, kawasan ini merupakan kawasan yang wajib dikunjungi kerana mengikut kepercayaan, inilah tempat kelahiran nenek moyang kaum Kadazan Dusun suatu ketika dahulu. Keturunan masyarakat Kadazan Dusun adalah antara kaum terbesar di negeri Sabah. ( Negeri dibawah bayu ).

 

 

 

“ Nunuk “ bermaksud sebuah pokok ara ataupun nama saintifiknya iaitu  FICUS SYCOMORUS , manakala “ Ragang ” diambil daripada perkataan “ Aragang “ yang bermaksud warna merah . Jadi  “ Nunuk Ragang “ ini membawa maksud sepohon pokok kayu ara yang berwarna merah. Sesuai dengan pengertian namanya sahaja , sudah tentu jalan ceritanya berkait rapat dengan mitos. Alkisah beribu-ribu tahun dahulu ketika manusia belum ada di kawasan Nunuk Ragang terdapat sepohon pokok kayu ara yang saiznya sangat besar dan difahamkan pokok ini adalah pokok paling besar yang pernah tumbuh di Pulau Borneo. Oleh kerana , kawasan sekitar dipenuhi  oleh hutan belantara maka pokok ara yang berwarna merah ini terserlah kewujudannya dan disitu jugalah banyak binatang menjadikan ia sebagai tempat berlindung. Bukan itu sahaja , sesuatu yang ajaib juga berlaku pada binatang  yang menjadikan pohon ini tempat habitat mereka. Dikatakan saiz binatang di dalam hutan itu besar-besar belaka, maka disini jugalah hidupnya seekor ayam jantan bersaiz gergasi yang dikatakan saiznya sebesar seekor kerbau. 

Ayam jantan inilah raja kepada segala binatang di kawasan Nunuk Ragang. Memang sudah menjadi tabiat seekor ayam untuk mengais-ngais tanah untuk mencari makanan. Begitulah juga dengan si ayam jantan ini bukan biasa-biasa cara si ayam jantan ini mengorek tanah sebab saiznya yang besar, rupa-rupanya kesungguhan si ayam jantan mengais-ngais tanah itu sebenarnya si ayam jantan sedang mencari sesuatu di dalam tanah, lepastu tiba-tiba keluar seorang pemuda yang handsome tapikan biarpun sudah keluar manusia yang pertama , si ayam jantan ini tidak juga mau  berhenti mengais sampailah keluar lagi seorang gadis yang cantik jelita. Oleh kerana tiada lagi yang muncul lepas si ayam jantan mengais tanah terus si  ayam jantan itu  pun mengambil dua orang manusia tadi untuk dijadikan anak angkat dan diajarkan mereka cara untuk hidup di Hutan . 

Apabila kedua manusia itu sudah meningkat dewasa, pemuda dan gadis ini  membentuk keluarganya sendiri sehingga melahirkan generasi yang ramai. Dan sejak dari itu juga kawasan Nunuk Ragang banyak populasi nya. Bagi memenuhi tuntutan kehidupan sebagai manusia di Nunuk Ragang, si ayam jantan telah melantik si pemuda sebagai penghulu di Nunuk Ragang. Dek kerana Nunuk Ragang berada dibawah pimpinan pemuda itu dikatakan bahawa wilayah Nunuk Ragang menjadi semakin makmur. Dengan lokasinya yang berdekatan dengan sungai-sungai maka kemakmuran Nunuk Ragang tiada bandingannya apabila penduduk Nunuk Ragang belajar bercucuk tanam serta sumber rezeki di sungai juga di terokai.

Suatu hari, kemakmuran dan kedamaian penduduk di Nunuk Ragang ini mula tergugat apabila wilayah Nunuk Ragang telah dilanda satu wabak yang tidak diketahui dari mana asal usulnya. Ianya dikenali sebagai “Ragang Tie “ ataupun dikenali sebagai wabak tahi merah. Oleh kerana itulah penduduk di Nunuk Ragang mula dijangkiti sakit-sakit yang berpanjangan sampai ada yang meragut jiwa dan hasil tanaman mereka juga semakin berkurangan. Begitu juga dengan hasil sumber di sungai iaitu ikan-ikan juga mati sehingga mereka pun tidak tahu apa yang mereka mau makan . Ragang Tie telah meninggalkan seribu satu kesan dan disinilah dimana penduduk Nunuk Ragang mula berpindah randah ke seluruh pelusuk Sabah satu waktu dahulu . Dengan ini kepercayaan mitos perpindahan nenek moyang Kadazan Dusun telah pun bermula. 

Walaupun pada masa itu, ramai yang telah berpindah untuk mencari tempat yang lebih makmur ,namun masih ada lagi saki baki orang Nunuk Ragang yang tidak mau berpindah . Mereka cuba sedaya upaya untuk hidup di kawasan tersebut dengan sebaik mungkin dan ada yang sebahagian daripada mereka mencuba untuk menanam padi kerana pada masa itulah musimnya. Ketika mereka sedang sibuk dengan huma-huma mereka, pada masa itu jugalah mereka terdengar suara yang memanggil daripada bawah tanah yang kedengaran seperti suara manusia. Dengan segera mereka memberitahu penghulu dan penghulu tersebut telah memberi arahan kepada mereka untuk mencuba mengorek tanah di kawasan tersebut. Setelah menggali dengan lebih dalam, akhirnya mereka menjumpai satu lubang yang besar dari kejauhan dan kedengaranlah suara manusia bercakap kuat dan kasar. Pada masa itu juga orang Nunuk Ragang dapat melihat kelibat manusia-manusia yang raut wajahnya garang dan ganas memenuhi setiap ruang di dalam tanah tersebut. 

Orang bawah tanah itulah panggilan orang Nunuk Ragang bagi mengelar mereka , oleh kerana mereka sesama manusia jadi orang Nunuk Ragang cuba untuk berbaik-baik dengan orang bawah tanah dan beliau cuba untuk bersua dengan ketua mereka, tetapi sebaliknya salam persahabatan yang dihulurkan dari penghulu Nunuk Ragang malah dibalas dengan cacian daripada ketua orang bawah tanah tersebut, kerana orang bawah tanah berpandangan bahawa orang Nunuk Ragang akan cuba untuk tinggal bersama mereka di dalam tanah kerana wilayah Nunuk Ragang telah tercemar oleh Ragang Tie. Untuk tidak mengeruhkan suasana pengulu Nunuk Ragang terus meninggalkan lubang orang bawah tanah itu.

Mereka diberi gelaran orang-orang bawah tanah oleh penduduk Nunuk Ragang. Oleh kerana mereka adalah sesama manusia maka orang-orang Nunuk Ragang cuba berbaik-baik dengan orang-orang bawah tanah dan dia cuba untuk berjumpa dengan ketua mereka, tetapi sebaliknya salam persahabatan dihulurkan dari Penghulu Nunuk  Ragang dibalas dengan makian daripada ketua bawah tanah, kerana mereka berpandangan bahawa penduduk Nunuk Ragang akan cuba tinggal bersama mereka di dalam tanah kerana wilayah Nunuk Ragang telah dicemari oleh Ragang Tie. Untuk tidak mengeruhkan suasana, Nunuk Ragang terus keluar dari lubang orang bawah tanah.

 

Ada satu  perkara yang orang Nunuk Ragang tidak tahu, orang bawah tanah itu sangat benci dengan mereka sebab orang bawah tanah langsung tidak mau hidup berkongsi biarpun seinci tanah , sebab itu orang bawah tanah  beberapa kali keluar dari lubang tanah itu atu dikenali sebagai tempat tinggal mereka untuk cubaan membunuh serta buat hal di Nunuk Ragang. Peristiwa inilah punca salah satu lagi faktor penghijrahan kedua mereka dari tempat asal untuk ke wilayah yang lain bagi orang Nunuk Ragang. Lama kelamaan di wilayah itulah mula kekurangan penduduk asalnya maka dengan itu bermaharajalela lah orang bawah tanah. Mereka keluar  kehidupan dibawah tanah dan membuka satu perkampungan mereka sendiri dan juga berdekatan dengan Nunuk Ragang yang dikenali sebagai “ Tampias”. Dipercayai bahawa orang bawah tanah itu juga manusia biasa akan tetapi mereka telah disumpah oleh dewa tanah. Sumpahan itu adalah satu hukuman kerana dikatakan bahwa semasa mereka tinggal di atas tanah, mereka merupakan antara manusia yang merosakkan alam sekitar serta menimbulkan banyak kekacauan di dunia walaupun sudah didominasikan wilayah Nunuk Ragang. Namun dendam kesumat orang bawah tanah tidak pernah luntur. Percubaan untuk membunuh penghulu dan si  ayam jantan sakti sentiasa menjadi misi utama mereka. 

Demi menjaga keselamatan penghulu itulah dikatakan si ayam jantan sakti telah menerbangkan penghulu serta beberapa orang penduduk dan tinggal di satu kawasan yang pegunungan yang tanahnya agak berlumpur dan pada masa sekarang tempat itu dikenali sebagai Ranau, yang bermaksud lumpur dalam bahasa Kadazan Dusun. Orang Nunuk Ragang membuka Ranau sebaik mungkin dan hidup di Ranau untuk seketika secara aman damai. Orang bawah tanah pula masih tidak berpuas hati dengan orang Nunuk Ragang dan mengejar mereka hingga ke Ranau. Namun dengan kesaktian yang ada pada si ayam jantan , segala niat jahat dari orang bawah tanah diketahui, maka si ayam jantan pun terbang bersama si penghulu ke Tambunan. Apabila ketibaan orang bawah tanah ke Ranau langsung tidak mampu membunuh si penghulu mahupun si ayam jantan, akhirnya ada di kalangan mereka turut tinggal di Ranau dan menyesuaikan diri dengan orang Nunuk Ragang yang ada di Ranau sehingga sekarang. 

Sekali lagi keberadaan penghulu dan si ayam jantan di Tambunan itu juga diketahui oleh orang bawah tanah dan tanpa memikirkan penat lelah mereka dan kegagalan mereka sebelum ini , mereka terus bertindak mengejar si penghulu dan ayam jantan sakti hingga ke Tambunan . Dan sebelum si penghulu dan si ayam jantan meninggalkan bumi Tambunan, mereka sempat memilih seorang penghulu untuk mengetuai masyarakat orang Nunuk Ragang di Tambunan dan penghulu itu bernama Gombunan. Kerana itulah mengapa tempat itu dikenali sebagai Tambunan sempena nama penghulunya iaitu Gombunan.

Kegagalan kali ketiga bagi orang bawah tanah yang ingin membunuh si penghulu dan si ayam jantan sakti telah pun terbang ke Apin-Apin, buru memburu ini telah menampakkan tiada kesudahan bagi  si orang bawah tanah . Dari Apin-Apin si penghulu dan si ayam jantan telah terbang ke seluruh pelosok bumi Sabah dan salah satunya Keningau. Keningau ini adalah salah satu kawasan yang kaya dengan kayu manis. Dan begitulah juga bagaimana Keningau mendapat nama yang bermaksud kayu manis di dalam bahasa Kadazan Dusun. 

Akhirnya, yang hidup akan mati dan begitu jugalah kepada si penghulu dan si ayam jantan . Mereka telah pun meninggal dunia apabila si ayam jantan sudah lelah dan sakit tua dan akhirnya mati. Tidak lama kemudian si penghulu juga mengikut langkah si ayam jantan yang telah menjaganya dari kecil dan mengajarkannya tentang kehidupan serta membantunya dalam apa pun jua dalam kehidupan orang Nunuk Ragang . Dan pengakhiran itu juga menunjukkan orang bawah tanah sudah tidak memburu ketua orang Nunuk Ragang lagi dan mereka kekal duduk bersama saki baki orang Nunuk Ragang yang ada sehingga ke hari ini. 

Dan inilah cerita Nunuk Ragang di Sabah yang mempunyai keunikannya di dalam hubung kaitnya melalui cerita mitos iaitu asal usul orang Nunuk Ragang yang juga merupakan nenek moyang masyarakat Kadazan Dusun yang ada pada masa sekarang. 

 

Nahh, kamu tau sudahkan cerita pasal ni Nunuk Ragang ? Sedikit sebanyak kita dapat memperolehi cerita dulu-dulu tentang nenek moyang kita . Jadi lepas ni kalau ada yang tanya kamu boleh sudah kamu jawab..

 

 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.

Comments are closed.